Pages

Thursday, February 21, 2013

Memori Haramain VII


Indahnya Ukhuwah

22.10.2012 

Assalamualaikum,


3 Sahabat dari 3 negara berbeza
Aisyah, Zeinab, Khadijah

Harini sempat menjalin ukhuwah dengan saudara seislam dari negara Iran dan Nigeria. Jarang dapat berjumpa dengan mereka yang fasih berbahasa inggeris disini. Mungkin golongan muda sekarang sudah global, sudah tahu dan mahu belajar bahasa luar, jadi lebih mudah untuk kami berkomunikasi. Dipertemukan dengan seorang sahabat bernama Aisyah dan zeinab. Aisyah seusia dengan saya dan merupakan pelajar undang-undang di negaranya, kami bertanyakan latar belakang serba sedikit dan mendapat tahu bapanya seorang doktor pakar disana, MasyaAllah hebat-hebat keluarga mereka. Zeinab pula dari Iran dan bekerja sebagai seorang pensyarah dalam bidang quran dan sains di universiti di Iran(lupa nama unniv tu), banyak juga dapat berbual dan berbincang mengenai sejarah islam, isu mazhab yang berlainan, dan isu negara negara islam, seronok dapat ilmu baru dan bertukar pendapat antara sesama islam yang dari negara dengan fahaman yang berbeza. Walaupun jarak usia kami lebih kurang 20 tahun, saya merasa serasi dengannya, bagaikan ada chemistry antara kami. Sebagai tanda persahabatan antara kami dia memberikan tasbih miliknya kepada saya sebagai tanda ingatan kepadanya, sambil berpesan supaya saya belajar rajin-rajin dan hargai peluang yang diberi Allah untuk menunaikan haji di usia yang muda. Terharu (^_^) ,
.
Thanks !



***


Bersabarlah dengan Ujian

23.10.2012 

Segala aktiviti hanya dilakukan didalam bilik hotel dan sekitarnya. Solat jemaah juga dilaksanakan disetiap tingkat. Pihak pengurusan tabung haji menyarankan kami agar kesihatan kami dijaga 3 hari sebelum ke Arafah. Malang tidak berbau, antara teman sebilik juga begitu, silih berganti demamnya. Masing masing masih lemah dan tak berdaya, ujian buat kami jemaah haji. Kebanyakan jemaah tak sihat, esok kami akan bertolak ke arafah. Berdoa supaya kami semua diberi kesembuhan dan kekuatan untuk melaksanakan kemuncak haji ini. Ya Allah ampunilah kami, permudahkanlah ibadah haji kami. 
Mode demam (-_-")

***



Arafah kami datang

24.10.2012 

pelan khemah di Mina
pelan khemah di Arafah
Pelan khemah dan keperluan yang perlu dibawa sepanjang di Arafah dan Minasudah ditampal di lobi setiap tingkat. Jemaah haji hanya dibenarkan membawa 1 beg kecil yang telah disediakan oleh pihak TH untuk dibawa ke masyair(arafah-muzdalifah-mina), semua barang dihadkan untuk dibawa, hanya beberapa helai pakaian dan keperluan asas sahaja yang perlu dibawa. Mungkin ia untuk kemaslahatan kami semua, supaya semua beg jemaah dapat disimpan diperut bas. Dah cuba sedaya upaya melipat pakaian dan menyusun dgn serapi mungkin untuk dimasukkan dalam 1 beg tapi tetap juga ada anak beg yang terpaksa dibawa..hehe..harap pihak pengurusan tidak kisah, kerana hanya makanan dan sejadah kecil yang dibawa didalam anak beg tersebut.

Beg dah siap pack !
                             

Selepas zohor kami disuruh bersiap sedia didalam bilik masing-masing sementara menunggu panggilan dari pihak TH, dijangkakan tadi maktab 98 perlu bertolak ke arafah jam 12:30tgh, tapi dari tadi saya hanya dapat mendengar panggilan ulang untuk jemaah dari maktab 96, mungkin ada pakcik dan makcik yang terlewat bersiap sehingga perjalanan tertunda sedikit. Bukan mudah untuk pihak TH menguruskan beribu-ribu orang supaya semua tidak tertinggal, ia memerlukan kerjasama daripada semua pihak. Pihak jemaah haji mahupun pihak organisasi, yang paling penting semua perlu ada sikap sabar dan bergantung kepada Allah dalam apa jua situasi.

Mengikut kata mereka yang pernah ke arafah, Perjalanan ke sana sebenarnya hanya mengambil masa 30-40 minit, tapi ia suatu jangka waktu yang mustahil untuk dicapai ketika musim haji ini. Ramai orang dan banyak kenderaan.  
suasana jemaah sedang menuggu bas di lobi hotel

Disebabkan kebosanan menunggu didalam bilik, saya Sempat meninjau keberangkatan jemaah dari maktab lain di lobi hotel. Berkenalan dengan makcik-makcik dari negeri-negeri yang berbeza pun best gak untuk isi masa lapang ni...bersembang dari loghat utara sampai ke selatan tak lupa juga pantai timur. Globalisasi komunikasi sangat penting, supaya anda tidak kekok bila berborak dengan orang yang luar dari negeri sendiri. 
Kami sempat berborak dengan makcik dari negeri Johor
Bila bercakap banyak mulalah tekak nak kering, ternampak hidangan yang disediakan  pihak hotel untuk jemaah. Ada Juadah kurma dan minuman herba(cengkih+halia). Katanya bagus untuk melegakan sakit tekak. Teruja ingin mencuba, nampak sedap dan aromanya pun menggoda. (o_O). Pak arab yang menghidangkan minuman tergelak-gelak melihat reaksi muka saya terkelat-kelat nak menghabiskan suku cawan minuman herba tersebut. Err...tutup hidung minum sekali nafas! Orang kata yang pahit itu penawar bukan?


Akhirnya jemaah dari maktab 98 dipanggil turun ke lobi, 7:30 mlm kami bertolak dari hotel . Bas kami adalah bas kedua yang terakhir akan tiba di Arafah. Jom !!

ini no bas kami ye...
Beratur menunggu giliran menaiki bas

Bergambar dengan Roomate  =)
(dari kiri: Saya, Makcik Mis, Makcik Na, Kak Ros, Kak Asnah)

Owh, sebelum terlupa...nak perkenalkan sahabat-sahabat baru saya. Di hotel inilah bermulanya perkenalan saya dengan 4 orang roomate baru, semua dari negeri selangor. Kak Ros dan kak asnah,  mereka berkawan baik dan bekerja di tempat yang sama di subang jaya. kedua-dua sporting dan peramah. Boleh jadi kawan borak lah.  Makcik Na ni kakak kepada kak Ros, dia ni seorang yang sentiasa tersenyum dan ceria, diusik macam mana pun senyuman dimuka tetap ada. Specialnya makcik Na, dia sangat penyayang kepada kucing. Boleh dapat gelaran ummu Hurairah, setiap kali makan, dia akan mengumpul saki-baki makanan yang berlebihan untuk diberi kepada kucing-kucing dijalanan semasa dalam perjalanannya ke masjid. Bukan sekali dua, memang setiap ternampak makanan berlebih mesti teringatkan kucing-kucingnya. Makcik Mis pula dari ulu yam baru, mempunyai peribadi keibuan, lemah-lembut dan sanggup melayan kerenah kami yang lebih muda darinya, kami dianggap seperti anak-anaknya. Masakan di arab selalunya tidak pedas, saya dan kak ros pula kaki makan pedas, bila makan makanan yang tidak pedas kuranglah berselera sedikit, dengan baik hati makcik mis tolong masakkan kami cili dan bawang tumis. Air tangannya memang sedap, berselera kami makan =D . Tangkap gambar kenangan dulu sebelum berpisah, sebab nanti di Arah dan Mina kami dikatakan akan ditempatkan di khemah berbeza. Mungkin saya dapat kawan baru lagi ye?

Bermulalah perjalanan kami...

Bas kami yang unik dan klasik...ada kipas pusing...
tapi tak berfungsi, buka tingkap je lah..
Nampak je macam ni...tapi bas ni tak buat hal pun =)
kami sampai cepat dari bas yang cantik-cantik dan berhawa dingin
Kesesakan lalu lintas yang perlu diharungi
(bukan sahaja bas dan lori ini penuh dengan muatan manusia,
 tetapi haiwan-haiwan qurban pun dibawa  untuk ke mina dan arafah,,heheh,,,)

1 jam 30 minit kemudian kami tiba diarafah. Alhamdulillah, driver ni pandai mencari jalan pintas untuk mengelak kesesakan jalan ke arafah. Ada jemaah lain yang sangkut didalam kesesakan selama 4-5 jam. Alhamdulillah, kami sampai awal.

Sebaik sahaja kami tiba saya terdengar bunyi siren ambulans, takziah kepada seorang jemaah haji, katanya mengalami sesak nafas semasa didalam perjalanan tadi, mungkin kepanasan dalam kesesakan lalu lintas tadi, ditambah pula dengan udara berdebu menguji kesihatan pakcik tu. Sekali lagi, fizikal, mental dan kesihatan harus kuat untuk ibadah ini!

***

Dipintu masuk setiap dari jemaah diberi hadiah oleh pihak muassasah 1 set paket teh, kopi, gula dan krimer untuk kegunaan selama berada disini. 

Cahaya rembulan di Arafah, selamat malam semua !
Mimpi bulan mengambanglah  malam ni =)
Terasa seperti zaman sekolah, semasa aktif mengikuti aktiviti pengakap bercamping di hutan tetapi kali ini suasana berbeza, bercamping di padang pasir. khemah-khemah putih tersusun rapi di sekitar kawasan arafah, setiap khemah telah ditanda dengan nombor maktab dan no khemah masing-masing. Disini, daya ingatan tempat diuji, sebab semua khemah kelihatan sama, kalau jemaah yang warga emas tersesat, susah juga nak mencari. Malam ni tidur beralaskan pasir halus sambil menikmati udara nyaman dan pemandangan bulan dan bintang dibumi arafah.


To be continued... 

Thursday, February 7, 2013

Memori Haramain VI

Assalamualaikum,

Hampir seminggu setelah cuti semester bermula, terlalu sibuk sejak berada di department medical sehingga lah hari ini baru dapat memainkan minda untuk berkarya di blog sendiri...hehe... Professional exam dah berlalu, moga kami semua mendapat kejayaan.Cuti semester selama lebih kurang 2 minggu perlu dimanfaatkan. Alhamdulillah walaupun dalam kesibukan menjalankan tugas sebagai pelajar, anak dan seorang muslim, segala urusan saya dipermudahkan dan bersyukur segalanya berjalan dengan lancar. Moga kami diberi kelapangan waktu, kekuatan jiwa dan dikurniakan rezeki yang diberkati. 2.2.2013 Bismillah !                        

                                                                             (^_^)

***

Selamat menghayati ceritera selama saya berada di Haramain dan semoga bermanfaat~

Yaumul jum'ah

19.10.2012

Hari ini merupakan penghulu segala hari, penuh barakah. Suasana pagi di masjidil haram pun nampak tenang. Tawaf pagi ini pun mudah. Selesai subuh Kami berpeluang untuk melihat kaabah dengan tenang tanpa ada polis-polis yang menghalau kami supaya beredar. Sempat lagi merakamkan gambar kenangan bersama mak tersayang didepan kaabah. Teringin untuk solat jumaat di masjidil haram, tetapi para jemaah wanita tak digalakkan berada di sekitar masjid ketika solat jumaat atas alasan keselamatan. Sudah tentu hari ini masjid akan dipenuhi rakyat tempatan ditambah dengan jutaan jemaah haji, makin sesaklah. Prinsip saya, bagi keutamaan kepada kaum adam yang wajib melaksanakan tuntutan solat jumaat berbanding kaum hawa. Namum saya tetap menanam hasrat untuk solat jumaat disana selepas musim haji, mungkin waktu itu jemaah haji sudah banyak yang berangkat pulang. InsyaAllah.


Snap pemandangan sekitar ketika didalam perjalanan balik ke hotel

***

Sesak Dunia, sesak lagi Akhirat !

20.10.2012

Semua penerbangan jemaah haji dari seluruh negara dikatakan berakhir hari ini. Mekah dipenuhi sepadat-padat manusia, dari seluruh pelusuk dunia berkumpul di tanah suci ini dengan tujuan yang satu. Allahuakbar.Pergerakan makin terbatas dan makin lambat. Kalau emergency case memang tak tahu macam mana nak mencelah keluar. Ya Allah mudahkan langkahku mengharungi manusia-manusia ini. Dalam kesesakan macam ni, macam macam penyakit boleh menular, sana sini terdengar orang batuk terkokol-kokol dan hidung mengesot-ngesot. Hanya dapat berdoa supaya dilindungi dari penyakit yang merbahaya. Pantang larang dalam ihram perlu dijaga, kerana kami memilih untuk menunaikan haji ifrad, mask muka tak boleh digunakan sebagai ikhtiar pencegahan. Sedikit sebanyak memberi kesan kepada kami, tekak dan hidung dah mula perit. Cuaca yang panas, suasana berdebu dan jarak antara manusia yang hanya sejengkal menyebabkan ramai yang diuji nikmat kesihatan.


Kesesakan setelah selesai waktu solat,
kami terpaksa menunggu 10-15minit supaya jalan kurang sesak sebelum balik hotel.

Jarak antara dua waktu solat maghrib dan isyak yang terlalu dekat menyebabkan ramai jemaah yang tak berganjak dari tempat duduk saf, mata terpaksa melilau-lilau mencari ruang antara celah jutaan jemaah. Laluan jalan semakin lama semakin sempit bila menghampiri waktu solat, terpaksa la melangkah dan menyelit ditengah-tengah jemaah.

Pelbagai kerenah manusia kalau dilihat yang berada disini, ada yang tidur bergelimpangan dilaluan jalan, ada yang letak sejadah dan ambil ruang sebesar-besarnya dan ada yang menolak-nolak, bertekak mulut, ada yang saja merapatkan lutut dan bahu dan tak membenarkan jemaah berjalan diantaranya. Tanpa kita sedar, kadang-kala kita bersikap mementingkan diri dan tidak mahu mengalah kepada orang lain dan mungkin juga sehingga menyakiti hati orang lain. Bukankah kita disarankan menjaga hubungan dengan Allah dan Hubungan dengan Manusia? Tiada guna kalau kita solat dan berdoa merayu-rayu didepan kaabah memohon agar terkabulnya segala doa dan dosa diampunkan sedangkan didalam masa yang sama kita bersikap mementingkan diri, kita menolak-nolak dan mengherdik jemaah lain yang ditepi kita jika mengambil tempat kita, awalnya ingin mendapat tempat yang paling afdal berdoa, tetapi dalam masa yang sama kita menyakiti orang lain. Malah, ada pula yang bersikap diktator, mereka sudah lambat masuk saf, tetapi dengan sengaja duduk dihadapan kita dan menyuruh kita berganjak ke tempat lain. Astagfirullah, moga pengalaman ini menjadi didikan untuk membentuk diri menjadi lebih sabar. 

Berilah ruang untuk Aku bersolat dirumahMu, walau sepenuh mana pun jemaah, saya tetap menguatkan semangat untuk mencari ruang didalam masjid, namun ramai juga jemaah yang malas nak bersesak dan memilih untuk solat dikawasan luar masjid, sudah tentu tidak sama bersolat didalam masjidilharam dengan diluar. Saya tidak mahu kerugian. Alhamdulillah, tiba-tiba ada makcik arab tarik saya untuk duduk disebelahnya, moga kebaikannya dibalas Allah. Kita bantu orang, Allah bantu kita.


TIPS menjaga hubungan dengan manusia :
-Taat ibu bapa dan elakkan menyakiti hati mereka
-Selalu momeohon ampun dan mendoakan mereka
-Berbuat baik kepada gru-guru dan mendoakan mereka
-Ikhlas dalam persahabatan
-Selalu tersenyum kepada sesama muslim (senyum itu sedekah)
-Menjaga tutur kata
-Elakkan dari menyusahkan orang lain selagi mampu berdikari
-Menanamkan rasa cinta sesama muslim
-Segera memohon maaf jika berbuat kesalahan
-Hormati yang tua, Adil terhadap yang muda
-Bercakap dengan lemah-lembut dan berhikmah


 to be continued...







.






Tuesday, January 8, 2013

Memori Haramain V



Nikmat Sihat Sebelum Sakit


18.10.2012

Alhamdulillah harini dah makin sihat, walaupun subuh tak dapat berjemaah di masjid, saya cuba gagahkan diri untuk pergi waktu zohor, dengan izinnya dapat jejakkan kaki di rumahNya. Selesai solat zohor berjemaah, saya mengajak kedua ibubapa untuk menemani saya menunaikan tawaf sunat. Memang agak mencabar kalau dilihat tawaf dengan cuaca panas terik ditengah lautan manusia. Tapi azam dihati nak ganti tawaf sunat yang tertinggal subuh tadi membuatkan diri bersemangat untuk tawaf tatkala sang matahari berada diatas kepala. Selesai sahaja 7 pusingan, dah dapat rasa aura nak pengsan, dari leher ke kepala terasa sejuk akibat pengecilan (vasoconstriction) pembuluh-pembuluh darah di muka dan kepala, terasa darah makin sedikit sampai ke kepala,  mata pula berpinar-pinar dan mulai gelap. Nak duduk atau berhenti ditengah-tengah pusingan tawaf memang tiada ruang, kalau ada pun memang cari nahas untuk dipijak. Terus berpaut pada bahu ayah sambil mencari jalan keluar dari pusingan tawaf. Saya terus duduk sebaik sahaja ternampak sedikit ruang untuk mengambil udara segar dan mengurangkan tarikan graviti bagi memudahkan darah mengalir ke kepala semula. 

Mungkin badan belum sembuh sepenuhnya untuk menghadapi tawaf yang paling tough diwaktu tengahari, ditambah lagi beberapa hari sebelum itu saya tidak makan malam akibat keletihan menyebabkan tidak bertenaga. Betul, sungguh berbeza jihad menunaikan umrah dengan menunaikan haji, bukan sahaja  jihad dengan cuaca, menahan nafsu ammarah dek asakan manusia, malah terpaksa menahan hidung dengan campuran peluh dan pewangi asli manusia dari pelbagai bangsa negara dan ras. 


Tawaf di tengah hari tetap padat dan ramai dengan manusia

Di Padang Mahsyar nanti manusia lagi ramai, satu dunia berkumpul menunggu perhitungan, tidak hairanlah ada terbaca riwayat yang mengatakan pada hari tersebut ada manusia yang berenang atau tenggelam dilautan peluhnya sendiri, Nauzubillah. Matahari pula hanya sejengkal diatas kepala. Segala balasan adalah sesuai dengan amalannya di Dunia. Allah itu Maha Adil.   

"Maka barangsiapa mengerjakan kebaikan sebesar zarah, niscaya dia akan melihat (balasan)nya [7]. Dan barangsiapa mengerjakan kejahatan seberat zarah, niscaya dia akan melihat (balasan)nya.
(QS. Al-Zalzalah 7-8)

Syukur sekurang-kurangnya Allah bagi saya peluang untuk selesaikan 7 kali pusingan. Peristiwa itu tidak mematahkan semangat saya, mungkin lepas mengambil makan yang cukup dan sembuh sepenuhnya saya akan harungi lagi. Malu kalau orang yang sihat fizikal seperti saya cuma pening-pening sedikit untuk mengundur diri bila melihat mereka yang serba kekurangan atau OKU boleh melakukannya. Subhanallah, milik Allah segala kekuatan yang diberi.

Terima kasih mak ayah yang menjaga anakmu ini semasa sihat dan sakit. =)


to be continued...

Thursday, January 3, 2013

Memori Haramain IV


 Ujian itu Tanda Allah Sayang


17.10.2012

Hari ketiga kami memulakan hari seperti biasa, sewal jam 2:30 pagi kami berjalan kaki menuju masjidil haram. Kami perlu keluar awal untuk mengelakkan kesesakan manusia dan supaya kami dapat berada di saf yang didalam masjid.nak dapatkan ganjaran 100 000 pahala solat disana. Kalau lambat sudah tentu terpaksa solat dipintu masjid, paling teruk  tak sempat pun masuk ke perkarangan masjid, hanya dapat solat di luar kawasan, ditepi kedai-kedai.

Hari ini saya diuji, kaki cramp, bila berjalan tertengkot-tengkot, agaknya terkejut kaki setiap hari perlu berjalan lebih kurang 10km. Kalau di Malaysia, ke mana pun pergi nak naik kereta kan..,dimanjakan sangat kaki, bila terpaksa bekerja keras sedikit, mula lah nak sakit sana sini. Ujian kedua pula, badan jadi tak bermaya, dah ada simptom nak demam. Banyak dah minum air zam zam tetapi panas didalam badan tak juga lega, dari selepas zohor sampai ke waktu isya saya hanya mampu duduk dan baring dikawasan masjid, dan mak saya terpaksa tawaf sunat seorang diri. “Jelous” terlepas peluang nak tawaf pada hari ni, kalau ikutkan hati memang nak saja melangkah ke tempat tawaf, tapi nanti kalau pengsan ditengah-tengah lautan manusia tu, mau dipijak oleh manusia yang berbadan sasa dan tinggi itu.
 

Untuk memanfaatkan masa yang ada, saya cuba membuka alquran, tapi malangnya membaca alquran pun hanya dapat beberapa baris, kepala makin lama makin berat dan mata pun asyik nak tertutup macam dijahit,  kemudian saya terpaksa menggunakan alternatif lain dengan mendengar mp3 ayat alquran untuk mendengar sambil menghafal. Inilah cara memanfaatkan teknologi zaman kini. Terasa rugi kalau tak memanfaatkan masa yang ada. Mungkin ujian hari ini sebagai kifarah dosa yang lalu, (-_-").  Balik terus makan ubat dan tidur, berdoa agar cepat sembuh supaya masa ditanah suci dapat digunakan untuk beribadat sebanyak-banyaknya.



“Ya Allah Kau yang mendatangkan sesuatu penyakit, dan Kau jualah yang dapat
menyembuhkannya”


***

Amar Ma’ruf Nahi Munkar


Didalam keadaan saya yang separuh sedar, sempat lagi saya menjadi penganalisis sikap manusia di sekeliling, bukanlah untuk menilai atau mengkritik, tetapi memilih untuk mencari motivasi supaya saya menjadi seperti mereka atau mengambil iktibar dari mereka supaya lebih berhati-hati. Teringat kata-kata seorang pensyarah saya di Indonesia dahulu, “Rumput pun Kau boleh jadikan guru”, pensyarah ini memang suka menyelitkan kiasan dan peribahasa didalam setiap penyampaian kuliahnya. Best! Kata-kata padat dan tepat.

Semasa menunggu disudut masjid, saya sempat memerhatikan tingkah laku dua orang wanita Arab ini, mereka berjalan dan approach jemaah dari satu kumpulan ke kumpulan yang lain, mereka seperti menerangkan sesuatu, mujur mereka berbahasa Inggeris, saya dapat memahami apa yang mereka sedang sampaikan. Mereka secara sukarela mengajar cara berwuduk dan solat mengikut cara Rasulullah S.A.W, MasyaAllah simplenya kalau nak mengajak orang kearah kebaikan! Walaupun pada asalnya orang disekeliling tidak tahu apa tujuan mereka, tetapi akhirnya ramai mata-mata dan telinga-telinga tertumpu kepada mereka berdua, sehingga terjadi interaksi dua-hala apabila ada yang bertanya tentang kekeliruan mereka didalam melakukan rukun-rukun tersebut.


                                  
sukarelawan Arab yang mengajarkan cara-cara 
berwudhu dan solat kepada jemaah di masjid


Cara begini perlukan keberanian, tidak kira orang nak terima atau tidak apa yang disampaikan, tetapi mereka berusaha dahulu. Disitu saya dapat lihat banyak cabang untuk melakukan amar ma’ruf atau menyampaikan sesuatu. Tak perlu pun guna tenaga dan duit yang banyak, jemput ustaz ustazah untuk buat sesuatu program menyampaikan ceramah atau pengisian. Yang utama, apabila kita mempelajari ilmu, kita berani menyampaikan kepada orang lain pula. Kalau nak tunggu diri sendiri jadi ustaz/ustazah baru nak sampaikan??? Akibatnya jahil lah semua manusia di bumi, tiada penyampai (pendakwah).


Monday, December 31, 2012

Memori Haramain III


16.10.2012
sihat jasmani rohani


Terasa sengal-sengal dan tegang juga otot-otot kaki bila setiap waktu solat berulang alik berjalan kaki masjidil haram-hotel. Mungkin training beberapa bulan sebelum ke tanah suci tak cukup membuatkan otot-otot kaki fit untuk melakukan aktiviti yang extraordinary disini. Kalau dijumlahkan sehari saya berjalan 10km. Pecah rekod seumur hidup, kalau di sini seboleh-bolehnya nak parking kereta paling dekat dengan wad hospital sebab malas nak berjalan kaki, maklumlah tenaga perlu disimpan untuk berdiri lama dan berjalan jauh semasa ward round.

Mujurlah di kangar ada trek jogging yang disediakan Majlis Perbandaran Kangar (MPK), “Larian Denai” memang disediakan bagi penduduk-penduduk disini, tak kira pagi dan petang taman rekreasi ini dipenuhi dengan mereka yang mengamalkan gaya hidup sihat. Golongan muda suka berjogging, nyonya dan apek pula bertai-chi, tak kurang juga yang memilih untuk senamrobik dengan irama yang rancak. 1 Malaysia ! pelbagai kaum melakukan aktiviti disini. Jadi, selama beberapa bulan sebelum berangkat ke tanah suci, disinilah bermulanya training 3km jogging setiap hari, itupun dah terasa boleh buat diagnosis untuk diri sendiri AEBA (Acute exacerbation bronchial asthma) 2° to exertion.  

p/s: nasihat untuk mereka yang nak ke tanah suci lepas ni…mungkin boleh tambah lagi jarak jogging anda dan jaga kesihatan sebaiknya  =)




Cerita diatas bukanlah suatu keluhan sebenarnya, tetapi untuk membuka minda pembaca, melatih diri supaya belajar bersusah-susah dahulu dan dapat buat persediaan fizikal dan mental sebelum pergi menunaikan haji. Kadang-kala bila mind set sesetengah orang pergi haji sama sahaja seperti melancong luar Negara, dah bayar mahal mesti dapat perkhidmatan yang terbaik kan? Disini mungkin TIDAK untuk sesetengah perkara, semua manusia tak kira pangkat, darjat atau keturunan, sama disisi Allah. Segala ibadah dan tuntutan didalam perjalanan haji sebenarnya mengajar diri ini supaya merendah diri, bertolak ansur dan bersabar dengan pelbagai kerenah manusia. Tiada masa untuk berbangga dengan kekayaan, pangkat dan keturunan.


Beruntung bagi mereka yang pergi haji dengan pakej yang mahal dan tahu mengambil peluang dan kemudahan yang ada untuk beribadah sebaiknya di Tanah Suci. Rugi juga kalau nikmat dan peluang diberi, tetapi tidak mengambil peluang yang sebaiknya, sehingga disebabkan terlalu dekat jarak masjid dan hotel, mereka pilih untuk solat berimam tetapi dari dataran hotel? Tidak mahu merebut peluang berada di saf didalam masjid. Hakikatnya yang lebih penting bagaimana seseorang itu menggunakan nikmat dunia yang dikurniakan untuk digunakan di jalan Allah. 

Bagi mereka yang mengikut pakej muassasah, sangat beruntung ! kenapa? Itupun kalau kita bersangka baik dan pandang positif terhadap sesuatu perkara, walaupun jarak hotel-masjid agak jauh, tetapi semakin jauh jarak kita berjalan kaki menuju masjid, insyaAllah semakin banyak pahala yang diperoleh! Malah, melatih diri untuk merancang masa dan bersiap awal sebelum masuk waktu solat. Alhamdulillah, didikan yang sangat bermakna, Make Allah your first priority.

Di sebelah sisi lain, sedih juga melihat apabila ada jemaah yang menggunakan alasan jarak yang jauh untuk tidak pergi solat berjemaah di Masjidil haram. Mereka lebih memilih untuk solat di surau hotel. Bahkan, ada pula yang berjemaah mengikut imam di setiap tingkat hotel. Rugi kalau dah berada di Tanah Suci, tidak merebut peluang pahala solat di Masjidil haram

صَلاَةٌ فِى مَسْجِدِى أَفْضَلُ مِنْ أَلْفِ صَلاَةٍ فِيمَا سِوَاهُ إِلاَّ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ وَصَلاَةٌ فِى الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ أَفْضَلُ مِنْ مِائَةِ أَلْفِ صَلاَةٍ فِيمَا سِوَاهُ
“Shalat di masjidku (Masjid Nabawi) lebih utama daripada 1000 shalat di masjid lainnya selain Masjidil Harom. Shalat di Masjidil Harom lebih utama daripada 100.000 shalat di masjid lainnya.” (HR. Ahmad 3/343 dan Ibnu Majah no. 1406, dari Jabir bin ‘Abdillah. Syaikh Al Albani mengatakan bahwa hadits ini shahih. Lihat Shahih At Targhib wa At Tarhib no. 1173.)

Saya faham kalau yang solat di hotel itu adalah atuk-atuk dan nenek-nenek yang kurang upaya dan mempunyai masalah kesihatan, tetapi kalau masih muda belia insyaAllah masih boleh menapak kaki pelan-pelan.

Sepanjang pemerhatian disana, bangsa-bangsa lain lebih berusia tetapi semangat untuk mereka pergi ke masjid cukup dapat dibanggakan. Atuk-atuk dan nenek-nenek mereka ada yang berkaki tiga, berkerusi roda, malah badan bongkok 90° pun berusaha ke masjid. Dengar pula, penempatan bangsa-bangsa tersebut lebih jauh dari penempatan rakyat Malaysia. Jarak yang jauh tiada penghalang selagi semangat dan niat yang ikhlas datang dari diri sendiri. Diam seribu bahasa (-_-“)

to be continued...

Monday, December 10, 2012

Memori Haramain II




15.10.2012

selamat membaca !

duduk depan sekali, boleh tengok pemandangan luas~

Sebaik duduk didalam bas kami dihidangkan dengan welcome food, perut tengah kosong memang sedap pekena nasi arab ni...


Perjalanan Jeddah-Mekah mengambil masa sekitar 2 jam, di sempadan tanah haram bas kami perlu melalui pemeriksaan, untuk memastikan jemaah yang dibawa mempunyai visa yang sah dan beragama islam. Mereka juga turut mengagih-agihkan kotak-kotak yang berisi makanan dan air zam-zam sumbangan dari kerajaan arab saudi untuk para jemaah yang datang ke tanah haram. Pemandangan kiri dan kanan semua dihiasi dengan deretan padang pasir atau runtuhan bangunan, di jalan raya pula, dipenuhi dengan kereta mewah dan besar-besar, beruntung dapat pakai kereta mewah disini kerana harga kereta murah. 

Gunung-ganang pasir


Di negara kita, kalau pemilik kereta mewah, keretanya pasti digilap dan dijaga sebaik mungkin, calar atau kemek sedikit dah hantar ke bengkel. Disini tidak, kereta mereka ditutupi dengan debu yang tebal dan kemek sana-sini, selagi kereta boleh digunakan dan kondisi masih baik, mereka gunakan. Kalau dah hancur  baru mereka akan menggantikan dengan kereta baru, kata salah seorang mutawif kami.
Bandar di Tanah Haram
 Walaupun kebanyakan pemandangan disini mempunyai tone warna tanah...tetapi mata saya tetap segar  menikmati keindahan landskap Haramain sepanjang perjalanan =)

***
                 
Hotel Kami (Land Premium) maktab 95,96,98 ditempatkan disini 
                                             
Semasa kami tiba di perkarangan Hotel, saya dapat melihat jemaah dari pelbagai negara sedang berpusu-pusu ke arah masjidil haram kerana pada waktu itu sudah hampir masuk waktu asar. Sebaik sahaja bas mematikan enjinnya, kami diberitahu bahawa penginapan kami adalah Hotel Land premium dan jaraknya ke masjidil haram adalah 950m. Satu bilik dimuatkan dengan 4-6orang jemaah, Bilik jemaah perempuan dan lelaki diasing. Terasa suasana asrama, apabila didalam bilik disusun berderet 6 katil bujang. Untuk musim haji, semua hotel disusun seperti konsep asrama, mereka memanfaatkan ruang didalam setiap bilik dengan katil berbanding perabot-perabot lain. 


Didalam bilik hotel ( suasana macam asrama )
Jemaah berpusu-pusu ke masjid

Kalau mengikut jadual pihak tabung haji, kami perlu melakukan tawaf Qudum (selamat datang) selepas waktu isyak, tetapi ayah tidak mahu berlengah lagi, dia mengajak saya dan mak untuk melaksanakannya selepas menunaikan solat maghrib di masjid. Lagipun, ibubapa saya pernah menunaikan haji sebelum ini, jadi kebanyakan aktiviti kami lakukan sendiri tanpa bergerak secara berkumpulan. Mungkin untuk orang yang baru pertama kali mengerjakan haji, mereka lebih senang bergerak secara berkumpulan dengan pihak tabung haji supaya  tidak ada yang sesat atau hilang nanti.

30 minit sebelum masuk waktu solat maghrib,  kami mengatur langkah kearah masjidil haram, Malangnya sebelum sempat kami tiba di perkarangan masjid, terlihat dari jauh orang ramai telah membuat saf untuk solat maghrib sampai di tepi-tepi shopping mall. MashaAllah, first time tengok kesesakan manusia, selalunya di Kuala Lumpur sudah biasa dengan panorama kesesakan jalanraya. Disebabkan orang terlampau ramai, kami tidak dapat masuk ke dalam masjid mahupun perkarangan masjid =(

Kesesakan manusia menuju masjidil haram
Alhamdulillah, selesai melakukan tawaf qudum didalam kesesakan begini. 1 jam untuk menghabiskan  7 pusingan
(kalau tak sesak 35 minit dah boleh selesai insyaAllah)
                     
pergi dan balik, melangkah tanpa dapat melihat tanah (o_O) terbayang tak?



to be continued...










Monday, December 3, 2012

Memori Haramain I


Assalamualaikum,

Alhamdulillah kami sekeluarga diberi izin dan dipermudahkan urusan menyelesaikan ibadah haji dan selamat sampai ke Tanah air 27.11.2012, blog dah lama tak berjenguk sejak Tuan blog meninggalkannya...mungkin selepas ini saya akan cuba kongsikan sedikit sebanyak pengalaman saya selama berada di Haramain(Tanah Haram). saya akan update sedikit-sedikit atas sebab kekangan waktu buat masa ini, priority sekarang perlu bermujahadah sebagai pelajar perubatan semula setelah bercuti sangat lama !! (^_^)

15.10.2012

لبيك اللهم لبيك لبيك لا شريك لك لبيك إن الحمد ونعمة لك والملك لا شريك لك

Labaik Allahumma Labaaik, labaaik Laa Syarika Laka Labaaik Inal Hamda Wan Ni’mata Laka Wal Mulka La Syarikalah….



Harini bermulanya perjalanan saya ke tanah suci. Perasasn gembira dan berdebar-debar bercampur baur. Sayu pun ada, meninggalkan keluarga dan sahabat handai untuk jangka waktu yang lama. Hanya abang azhar, kak ana dan amni yang dapat menghantar kami ke kompleks TH kelana jaya. Jam 1.50pagi perlu melaporkan diri disana. Saudara mara yang lain hanya berkumpul dirumah saya 1malam sebelum kami berangkat, masing-masing perlu pulang ke tempat sendiri kerana mempunyai tanggungjawab dan tugas lain. Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang mendoakan kesejahteraan dan keselamatan perjalanan ibadah haji kami sekeluarga, saya mendoakan anda pula akan menjadi tetamu Allah suatu hari nanti.

 "sayonara", sebelum masuk ke dewan lapor diri di kelana jaya
(kami sudah bersiap dengan pakaian ihram)

Penerbangan kami dijangka berlepas jam 5.50 pagi, dari jauh saya hanya nampak mereka yang membawa beg jalur oren dan biru, tak nampak pula jemaah yang bawa beg tabung haji, dalam hati dah risau kalau-kalau kami tertinggal dari jemaah yang lain. Akhirnya persoalan terungkai, rupanya penerbangan kami digabungkan dengan mereka yang mengambil pakej, yang dari muassasah tabung haji (KT 95) hanya terdiri daripada 44 orang jemaah dan dari pakej hampir 300 orang. Semasa kami melapor diri di Kelana Jaya, segala urusan pasport dan pemeriksaan bagasi kami dilakukan seperti di kastam KLIA, jadi apabila jemaah dibawa ke sana nanti tak perlu lah lagi melakukan proses yang sama. 




Taklimat dan bacaan doa perjalanan sebelum kami menaiki bas untuk dibawa ke KLIA


Pertama kali merasa perjalanan diescort oleh anggota polis yang ramai, 10 bas yang dipenuhi dengan jemaah haji dibawa bergerak bersama-sama dari kelana jaya ke lapangan terbang KLIA. Kami dibawa terus ke dataran tempat kapal terbang diparking. Tak perlu melalui imigresen dan pintu scan di airport lagi. Terasa VVIP menjadi tetamu Allah ni, dilayan dengan baik sekali.


suasana didalam bas yang membawa jemaah ke KLIA






Dah dapat boarding pass dan details di Mekah!


Proses seterusnya...menunggu giliran untuk dipanggil masuk ke dalam kapal terbang


Alhamdulillah dah masuk kapal terbang =)

Sebelum berlepas, juruterbang memberitahu bahawa perjalanan kami mengambil masa 9 jam dari KLIA ke king abdul aziz international airport, jeddah. Kami mendapat penerbangan Saudi airlines,  kalau seingat saya rekabentuk saudi airlines sewaktu kami pergi ke mekah tahun 1996 sangat berbeza dengan yang kami naiki sekarang. Tempat duduknya lebar-lebar dan pramugarinya adalah dari kalangan orang arab. Saudi airline yang kami naiki sekarang dikelola oleh airasiaX. Tempat dudik sesuai saiz orang asia dan pramugarinya berbangsa Indonesia, manis bertudung dan berseluar.Tiada alasan munasabah untuk pihak penerbangan melarang pramugari menutup aurat. Mereka masih boleh lincah bekerja dan berjalan sana sini. Sedih melihat sesetengah syarikat penerbangan khusunya dari negara islam atau yang majoritinya beragama islam, meletakkan syarat pakaian pramugari yang membuka aurat, ketat dan kain terbelah sampai setinggi paha. Alasan? Senang melangkah?. Nauzubillah.Astaghfirullah.




Sambil mengisi masa terluang di dalam perjalanan, Ayah menerangkan tentang sejarah-sejarah Mekah dan Madinah kepada saya. Sebelum ke tempat tersebut, perlulah tahu serba sedikit tentangnya bukan?
(Buku ni sangat best, penerangan beserta dengan gambar, macam Ensiklopedia)



Breakfast time 
(makanan yang dihidangkan didalam flight)


15 minit sebelum melalui kawasan miqat qarnul manazil (tempat untuk berniat haji/umrah bagi jemaah haji dari malaysia), juruterbang kami siap mengumumkan supaya kami bersiap sedia untuk berniat ihram haji/umrah. Pramugari pula menyemburkan wangian sepanjang lorong tempat duduk jemaah haji bagi melaksanakan salah satu sunat ihram iaitu berwangi-wangian. Kerana selepas berniat, kami terikat dengan pantang larang ihram, tidak boleh memakai wangi-wangian.



Snap gambar bila bosan-bosan

Akhirnya, tiba di Jeddah...
Berehat dan meluruskan kaki sebentar setelah beberapa jam perjalanan

Semua Kapal terbang jemaah haji dikhaskan untuk mendarat di lapangan terbang king abdul aziz, Jeddah. Lapangan terbang ini hanya dibuka pada musim haji dan untuk kegunaan jemaah haji sahaja. Kami perlu melalui 3 check point untuk pengesahan paspot dan visa, sebelum mengambil bagasi kami. Di check point ketiga, terdengar pak arab bising-bising bercakap sambil tengok paspot dan muka saya berulang-kali,  ingatkan ada masalah dengan paspot, tiba-tiba pak arab tanya "how old are you?"  erk...? 23...Umur dah dewasa tapi muka tak dewasa ke? Huhu...ramai terpedaya dengan umur sebenar, boleh jadi budak sekolah menengah lagi ni. (Tips: senyum sokmo supaya urat dan otot muka excercise selalu, kalau kedekut senyuman nanti urat dan otot muka cepat kendur...hehe...)




Walaupun beg kami telah ditanda dengan pelbagai tag dan riben, susah juga nak mencari bila disusun diantara ratusan beg jemaah lain. Semua nampak serupa.Lain kali kena pilih beg warna striking lah, dari jauh boleh nampak. Dengan menggunakan nikmat mata steoreoskopik, saya mencari bagasi kami mengikut satu per satu barisan beg yang tersusun disitu.



Jemaah dari Indonesia, beratur untuk menaiki bas

Selesai ambil bagasi, kami diarahkan pihak tabung haji supaya beratur dikaunter diluar balai ketibaan untuk mengambil no bas yang akan membawa kami ke penginapan di Mekah. 




to be continued...