Pages

Thursday, April 11, 2013

Memori Haramain VIII

Assalamualaikum,

25.10.2012

Arafah, kisah dua cinta

Tugu peringatan peristiwa pertemuan Nabi Adam dan Siti Hawa 

Arafah yang bermaksud perkenalan atau pertemuan. Ia adalah satu tempat yang mesti dikunjungi umat islam ketika menunaikan ibadat haji. Wuquf adalah salah satu rukun haji dan merupakan kemuncak bagi ibadah haji, semua jemaah haji perlu berada di arafah walaupun seketika dari tergelincir matahari 9 zulhijjah sehingga terbit fajar 10zulhijjah. Jika tiada wuquf tiadalah haji.

Padang Arafah adalah tempat pertama di bumi ini Allah menerima taubat hambanya. Di Jabal Rahmah (Bukit kasih-sayang) dibina sebuah tugu peringatan sebagai tempat pertemuan nabi adam a.s dan Siti Hawa. Setelah bertahun-tahun bertaubat dan memohon keampunan, akhirnya Allah menerima taubat dan dosa mereka diampunkan. 

Apabila umat Islam berada disini, hasrat dan matlamat mereka sama seperti Nabi Adam dan Siti Hawa. Memohon keampunan dari Allah dan berharap mendapat haji yang mabrur. Setelah pertemuan dua insan yang telah lama terpisah ini, bermulalah kehidupan baru bagi mereka. Dari saat itulah keturunan manusia berkembang.


Demi waktu Dhuha

Sementara menunggu masuknya waktu wuquf, Guru agama TH mengambil kesempatan mengisi masa dengan berkongsi sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-bukhari dan Muslim, " Setiap sendi manusia itu perlu bersedekah pada setiap hari sewaktu matahari masih terbit. Mendamaikan dua orang yang berbalah adalah sedekah, membantu orang menaikkan barangnya keatas kenderaan adalah sedekah, ucapan yang baik adalah sedekah dan menghilangkan gangguan di jalanan adalah sedekah." ustaz tersebut mengatakan bahawa setiap hari anggota badan kita perlu melakukan sedekah sebagai tanda syukur kepada Allah.


surau yang disediakan bagi jemaah berkumpul untuk mendengar khutbah

Malah ustaz itu juga memperingatkan para jemaah tentang pentingnya menjaga hubungan dengan Allah atau sesama manusia. Beberapa cara yang dapat dilakukan antaranya adalah dengan solat sunat, membaca al-quran, berzikir, mendekati majlis Ilmu untuk mengenali Allah, melawat orang sakit atau meninggal dunia dan berbuat baik sesama manusia. Secara tidak langsung, moga sedekah yang kita lakukan setiap hari memberi kebaikan kepada orang lain dan menjadikan kita hamba yang lebih bersyukur. 

Ustaz tersebut turut menyarankan para jemaah melaksanakan solat sunat dhuha kerana banyak kelebihan yang dapat diperoleh. Solat dhuha dilaksanakan sebagai tanda bersyukur atas segala nikmat yang diberi. Ia dilakukan ketika matahari sedang naik, dan waktu yang paling afdhal adalah ketika matahari naik tinggi segalah(7 hasta/3 meter). Banyak kelebihan dan fadhilatnya, dimana seseorang itu akan memperolehi keampunan Allah SWT, murah rezeki dan ketenangan jiwa serta kehidupan.


para jemaah wanita sedang melakukan pelbagai ibadah-ibadah sunat sementara masuk waktu wuquf

  • Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW  bersabda: “Sesiapa Yang mengerjakan solat Dhuha dengan istiqamah nescaya akan diampuni dosanya olleh Allah sekalipun dosa itu sebanyak buih di lautan.”
  • Rasulullah SAW  bersabda:  “Bahawasanya di syurga ada pintu yang dinamakan ‘Dhuha’. Maka apabila  tiba hari kiamat kelak, berserulah (malaikat) penyeru: “Manakah orang-orang yang telah mengamalkan solat Dhuha; Inilah pintu kamu, silakan masuk ke dalam syurga dengan Rahmat Allah.”   (HR At-Tabrani)
  • Rasulullah SAW juga bersabda dalam hadits lain dari Nuwas bin Sam’an,  “Allah berfirman: “Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat raka’at pada permulaan siang (Solat Dhuha), nanti pasti akan Ku cukupkan keperluanmu sampai ke petang harinya.”   (HR. Haklim dan Tabrani).


Wuquf

Beberapa minit sebelum masuknya waktu wuquf, semua tirai khemah dibuka, supaya para jemaah dapat melihat langit yang terbentang luas semasa berdoa, Arafah merupakan salah satu tempat mustajab untuk berdoa, dan waktu wuquf inilah dikatakan kalau kita berdoa, semua hajat akan dipenuhi insyaAllah.  Saya gunakan peluang keemasan untuk berdoa beberapa hajat saya dan hajat yang dikirm sahabat-sahabat.

permandangan khemah-khemah di Arafah

Laungan talbiah bersahut-sahut diantara khemah-khemah jemaah haji, suasana terik panas di Arafah sebentar tadi tiba-tiba berubah menjadi mendung kerana ditutupi awan diiringi angin sepoi-sepoi bahasa menjadikan waktu itu sangat berbeza, suatu yang tak dapat diungkapkan tetapi hanya dapat dirasai oleh kami yang berada disana sahaja


cuaca semasa wuquf

Khutbah arafah yang dilaungkan menusuk ke dalam jiwa-jiwa yang berada disitu, masing-masing mendengar dan menghayati khutbah sehingga mengalirkan airmata sambil bermuhasabah terhadap kesilapan-kesilapan lalu yang telah dilakukan, betapa kerdilnya kami bertapa hinanya kami datang dengan segunung dosa, ampunilah kami ya Allah


khemah jemaah yang mengambil pakej

Mengapa kita perlu wuquf di padang Arafah yang kering dan tandus itu? Simboliknya sebagai padang mahsyar, manusia dari seluruh dunia dan seluruh umat akan dikumpulkan disuatu tempat yang panas teriknya terasa seperti matahari sejengkal diatas kepala, dalam suasana ini pun umat Nabi Muhammad, dah terasa sesak dan ramai?. Disana nanti masing-masing menunggu untuk dirinya dihisab dan pada waktu itu semua sibuk mencari orang yang dapat membantunya. Hakikatnya, hanya amal yang dibawa yang akan menjadi penolong kita disana.  


Berkhemah dipadang Arafah juga, memperlihatkan betapa kerdil dan bukanlah siapa-siapa manusia, kita diciptakan dari tanah dan akan dikembalikan juga kepada tanah. Apabila berkhemah berlantaikan pasir dan debu, terasa betapa diri sangat kerdil dan malu kepada Allah, siapalah kita diantara jutaan manusia ini, adakah kita dapat menjadi hamba yang terpilih di pandanganNya?  Semua manusia tak kira berpangkat apa sekali pun, tak perlulah merasa diri mereka terhebat jika dahi tak pernah mencecah bumi sebagai tanda syukur kepada Allah atas segala nikmat yang diberi. Moga kami semua diampuni diArafah dan dilahirkan jiwa seperti bayi yang baru lahir, tiada dosa. Azam menjadi yang lebih baik!

Sempat meninjau-ninjau kawasan sekitar perkhemahan di Arafah....

 Perkhemahan jemaah haji yang mengikuti pakej

Felda travel
khemah jemaah haji mu'assasah (Arabian canopy)

didalam khemah

Beberapa saranan untuk bakal jemaah haji mu'assasah:

1. Bawa kipas tangan yang pakai bateri dan spray air, amat berguna kerana sistem penghawa dingin untuk muassasah adalah konsep eco-nature...tiada aircond dan tiada kipas..hehe..


2. Jemaah haji perlu bertimbang rasa dan tidak mementingkan diri selama berada di khemah, 1 Khemah dimuatkan 8 orang dan ruang / kuota untuk 1 jemaah yang disediakan memang muat-muat untuk jemaah berbaring, kaki bertemu kaki, kiri dan kanan dengan jarak sehasta , jangan tidur lasak sangat takut menganggu keselesaan jemaah lain =p, berdasarkan cerita mak saya, zaman dulu dia pergi mengerjakan haji tidak lah seramai jemaah sekarang, hmm..mungkin ini salah satu cara pihak tabung haji ingin memaksimalkan kuota jemaah Malaysia, jadi lebih ramai jemaah dapat mengerjakan haji =)

3. Masa wuquf panjang, isi waktu dengan ibadah dan perkara yang bermanfaat, elakkan berbual kosong dan   komplen segala kesusahan dan kepayahan selama berada disini, susah di Dunia, InsyaAllah senang di Akhirat.

4. Ikut nasihat pihak tabung haji, jangan mandi terlalu lama atau membasuh baju di tandas yang disediakan, bawa pakaian secukupnya untuk mengelakkan jemaah lain menunggu lama dan beratur panjang. Hargai orang lain.

(sekadar berkongsi untuk persiapan fizikal dan mental bakal jemaah)





Khemah untuk haji pakej ada aircond dan tilam/katil

p/s: disarankan bagi pakcik-makcik yang dah berusia dan berkemampuan boleh la pergi haji dengan pakej untuk beribadah lebih selesa dan demi menjaga kesihatan. Tapi kalau yang muda2 sila ambil pengalaman mu'assasah, baru mencabar dan terasa nikmat beribadah dalam suasana sederhana!

Seperti biasa giliran KT 95 untuk menaiki bas akan dipanggil akhir sekali. Jadi, kami berpeluang untuk berada di bumi arafah ini lebih lama dari jemaah yang lain. Gunakan peluang sebaik mungkin.

rakan-rakan jemaah
suasana malam di Arafah

bersama makcik Na

***

26.10.2012

Mabit di Muzdalifah



Akhirnya, kelibat bas yang ditunggu-tunggu muncul juga. Alhamdulillah, bas kali ni nampak baru, selesa dan aircond sejuk :) perjalanan kami ke muzdalifah hanya mengambil masa 30 minit (Jarak Arafah-Muzdalifah : 8km). Jam ditangan menunjukkan 12 tengah malam. Mabit(bermalam) di Muzdalifah adalah waijb haji, ia tidak membuatkan seseorang itu tidak sah hajinya jika tidak dilakukan, tetapi dia perlu membayar Dam sebagai denda. Mabit cukup dilakukan dengan berada seketika tanpa perlu bermalam di Muzdalifah, tetapi lebih baik jika kita mengikuti sunnah Nabi s.a.w, bermalam di muzdalifah sehingga subuh. Islam itu mudah, dan tidak menyusahkan, ada rukhsah tertentu yang diperbolehkan untuk mengikuti kaedah yang berbeza jika ada halangan.



Sana-sini kelihatan manusia bergelimpangan, keletihan. Mungkin mereka sudah lama disini. Kami yang baru sampai, terkial-kial mencari port yang sesuai untuk membentangkan tikar. semua tempat dah kena booking.


suasana di Muzdalifah


Kelihatan mereka yang seusia atuk, nenek, pakcik dan makcik mengorek-ngorek pasir mencari anak batu disekitar muzdalifah, ada jemaah yang meluahkan perasaan sambil tertawa " Kalau dulu kita marah anak-anak main pasir, sekarang kita yang main pasir".




bukan senang nak kutip batu, ustaz pesan pastikan betul-betul batu atau kerikil, jangan tersilap ambil yang serpihan simen bangunan atau tahi unta, erk?? ukuran ambil yang sebesar kacang tanah jangan pula ambil sebesar genggaman nanti waktu melontar ada pula yang cedera.

ayah paling cekap kutip batu (^_^)

Kami perlu mengutip sekurang-kurangnya 70 biji anak batu untuk melontar di jamrah pada hari berikutnya. Batu-batu yang dikutip hanyalah bersaiz kerikil atau sebesar biji kacang, jangan dek semangat nak melontar syaitan di jamrah, batu bata yang dikutip. Lagipun, tujuan diwajibkan melontar adalah bagi memperingati peristiwa Nabi Ibrahim melontar syaitan ketika diganggu  untuk melaksanakan perintah Allah yang menyuruh baginda menyembelih anaknya Nabi Ismail. Zaman sekarang, mana ada syaitan yang menunggu dijamrah untuk dilontar? Kalau semangat pun nak melontar, campakkan anak batu tu sejauh-jauhnya ibarat kita membuang sifat-sifat mazmumah yang ada dalam diri kita.


Susah juga nak mengumpulkan  batu sebanyak itu, dengan kondisi kesihatan yang tak berapa baik, terpaksa bermain dengan debu tanah, menjadi pencetus untuk batuk.




Kepenatan...jom rehat.


Pagi itu, kami tidur beralaskan tikar dan berbumbungkan langit dihiasi bulan dan bintang. Nyenyak juga kami tidur. 

***


26.10.2012

Sobahul khair !!

tinggal beberapa kumpulan yang belum berangkat ke Mina

Bangun lihat kiri dan kanan dah lengang. Jemaah lain yang datang awal ke Muzdalifah telah berangkat ke Mina selama kami tidur. Penantian suatu penyeksaan. Bas kami tiba di perkarangan maktab 98 di Mina pada pukul 9 pagi. Perjalanan muzdalifah-Mina yang berjarak 6.9km mengambil masa 40 minit perjalanan. 




Disini kami ditempatkan dikhemah-khemah yang telah dibina oleh kerajaan arab saudi. Khemah disini dipasang siap dengan aircond. Setiap negara ditempatkan di khemah dan maktab yang berbeza. Di maktab kami ditempatkan juga khemah jemaah dari negara Thailand. Kami ditempatkan di Maktab 98.



gambar depan maktab 


suasana perkhemahan maktab 98


lorong antara khemah

didalam khemah (keluasan per jemaah di khemah ni lebih kurang di Arafah)


gambar diambil pada hari 3 melontar, setelah semua jemaah mengosongkan khemah mereka untuk pulang ke Mekah.

Kalau, mengikut jadual yang telah ditetapkan tabung haji, jemaah haji dari Malaysia selalunya akan dibawa melontar di jamrah pada waktu malam kerana pada waktu itu lebih selamat dan tidak bersesak seperti pada waktu siang.

Giliran untuk kumpulan kami dibawa pergi melontar jamrah adalah pada 8 malam. Sekarang jam menunjukkan pukul 11pagi, memang masa afdal untuk melontar 10zulhijjah adalah pada waktu dhuha. Lebih baik kami melontar pada waktu sekarang daripada terpaksa menunggu giliran kami, mesti yang terakhir nanti. Disebabkan mak dan ayah saya pernah berpengalaman mengerjakan haji, mereka mengajak saya untuk melontar pagi itu juga, mudah jika selesaikan awal, tidak terikat dengan pantang larang ihram terlalu lama. Tapi bagi warga emas atau yang tak pernah pergi, dinasihatkan ikut jadual tabung haji untuk melontar yang pertama kali supaya tiada jemaah yang sesat tanpa pengetahuan pihak tabung haji .


menuju terowong moaisem



Gegaran hentakan kaki jutaan jemaah yang melalui terowong moaisem sedikit sebanyak menambahkan perasaan takut didalam hati, teringat peristiwa-peristiwa yang diceritakan sebelumnya, ada mati dipijak, sesak nafas dan sebagainya disebabkan berasak-asak didalam terowong tersebut, tetapi ajal maut ditangan Allah, hanya kepada Allah kita memohon pertolongan dan dipermudahkan segala urusan. Tetapi kerisauan kami diredakan 1minggu sebelum wuquf, kami dikhabarkan terowong dan jamrah tingkat 3 yang dikhaskan untuk jemaah dari Asia telah siap dibina.


tempat melontar tingkat 3


Semenjak tragedi berdarah terowong moaisem pada tahun 90-an, kerajaan arab saudi telah merancang pembinaan yang terstruktur supaya perjalanan jemaah haji dibuat sehala dan diasingkan jemaah dari benua yang berbeza, demi menjamin keselamatan jemaah haji.Alhamdulillah, segala mainan fikiran sebelumnya tak sama dengan realiti, kami dapat berjalan dengan selesa dan tiada insiden yang tak diingini berlaku. Walaupun Ada juga kelihatan warga tua yang kepenatan tercungap-cungap berehat ditepi terowong, ia tididak menganggu pergerakan jemaah lain kerana telah disediakan ruang-ruang untuk kecemasan disepanjang terowong tersebut. Malah, ramai askar-askar telah ditempatkan didalam terowong tersebut sebagai pemerhati kelancaran gerakan jemaah haji.

jemaah warga emas gigih berjalan  didalam terowong moaisem

Jarak dari perkhemahan di mina ke tempat jamrah adalah 2km. Ibadah haji sangat memerlukan kekuatan dari fizikal, disarankan mereka yang masih muda belia sepatutnya mendahulukan untuk melaksanakan ibadah haji ini. Namun begitu, saya kagum melihat warga tua dan kurang upaya yang  gigih dan bersemangat berjalan kaki dengan bertongkat dan terhincut-hincut untuk melontar di jamrah. Walaupun mereka dibolehkan untuk melantik wakil bagi melontar untuk mereka, rukhsah tidak menjadi pilihan mereka.



Jamratul Kubra = Big Jamrah
ada papan tanda besar menunjukkan nama setiap jamrah, jemaah tidak akan keliru lagi.


suasana melontar

Selesai melontar di jamratul kubra. Bergunting dan Tahallul awal!  bebas 10 dari 13 larangan ihram. Alhamdulillah. Walaupun hanya 12 hari dalam pantang larang ihram terasa lama menghitung hari. 

p/s: sebenarnya tak ramai pun yang melontar waktu siang, jadi tidaklah seperti yang dibayangkan.


to be continued...

Thursday, February 21, 2013

Memori Haramain VII


Indahnya Ukhuwah

22.10.2012 

Assalamualaikum,


3 Sahabat dari 3 negara berbeza
Aisyah, Zeinab, Khadijah

Harini sempat menjalin ukhuwah dengan saudara seislam dari negara Iran dan Nigeria. Jarang dapat berjumpa dengan mereka yang fasih berbahasa inggeris disini. Mungkin golongan muda sekarang sudah global, sudah tahu dan mahu belajar bahasa luar, jadi lebih mudah untuk kami berkomunikasi. Dipertemukan dengan seorang sahabat bernama Aisyah dan zeinab. Aisyah seusia dengan saya dan merupakan pelajar undang-undang di negaranya, kami bertanyakan latar belakang serba sedikit dan mendapat tahu bapanya seorang doktor pakar disana, MasyaAllah hebat-hebat keluarga mereka. Zeinab pula dari Iran dan bekerja sebagai seorang pensyarah dalam bidang quran dan sains di universiti di Iran(lupa nama unniv tu), banyak juga dapat berbual dan berbincang mengenai sejarah islam, isu mazhab yang berlainan, dan isu negara negara islam, seronok dapat ilmu baru dan bertukar pendapat antara sesama islam yang dari negara dengan fahaman yang berbeza. Walaupun jarak usia kami lebih kurang 20 tahun, saya merasa serasi dengannya, bagaikan ada chemistry antara kami. Sebagai tanda persahabatan antara kami dia memberikan tasbih miliknya kepada saya sebagai tanda ingatan kepadanya, sambil berpesan supaya saya belajar rajin-rajin dan hargai peluang yang diberi Allah untuk menunaikan haji di usia yang muda. Terharu (^_^) ,
.
Thanks !



***


Bersabarlah dengan Ujian

23.10.2012 

Segala aktiviti hanya dilakukan didalam bilik hotel dan sekitarnya. Solat jemaah juga dilaksanakan disetiap tingkat. Pihak pengurusan tabung haji menyarankan kami agar kesihatan kami dijaga 3 hari sebelum ke Arafah. Malang tidak berbau, antara teman sebilik juga begitu, silih berganti demamnya. Masing masing masih lemah dan tak berdaya, ujian buat kami jemaah haji. Kebanyakan jemaah tak sihat, esok kami akan bertolak ke arafah. Berdoa supaya kami semua diberi kesembuhan dan kekuatan untuk melaksanakan kemuncak haji ini. Ya Allah ampunilah kami, permudahkanlah ibadah haji kami. 
Mode demam (-_-")

***



Arafah kami datang

24.10.2012 

pelan khemah di Mina
pelan khemah di Arafah
Pelan khemah dan keperluan yang perlu dibawa sepanjang di Arafah dan Minasudah ditampal di lobi setiap tingkat. Jemaah haji hanya dibenarkan membawa 1 beg kecil yang telah disediakan oleh pihak TH untuk dibawa ke masyair(arafah-muzdalifah-mina), semua barang dihadkan untuk dibawa, hanya beberapa helai pakaian dan keperluan asas sahaja yang perlu dibawa. Mungkin ia untuk kemaslahatan kami semua, supaya semua beg jemaah dapat disimpan diperut bas. Dah cuba sedaya upaya melipat pakaian dan menyusun dgn serapi mungkin untuk dimasukkan dalam 1 beg tapi tetap juga ada anak beg yang terpaksa dibawa..hehe..harap pihak pengurusan tidak kisah, kerana hanya makanan dan sejadah kecil yang dibawa didalam anak beg tersebut.

Beg dah siap pack !
                             

Selepas zohor kami disuruh bersiap sedia didalam bilik masing-masing sementara menunggu panggilan dari pihak TH, dijangkakan tadi maktab 98 perlu bertolak ke arafah jam 12:30tgh, tapi dari tadi saya hanya dapat mendengar panggilan ulang untuk jemaah dari maktab 96, mungkin ada pakcik dan makcik yang terlewat bersiap sehingga perjalanan tertunda sedikit. Bukan mudah untuk pihak TH menguruskan beribu-ribu orang supaya semua tidak tertinggal, ia memerlukan kerjasama daripada semua pihak. Pihak jemaah haji mahupun pihak organisasi, yang paling penting semua perlu ada sikap sabar dan bergantung kepada Allah dalam apa jua situasi.

Mengikut kata mereka yang pernah ke arafah, Perjalanan ke sana sebenarnya hanya mengambil masa 30-40 minit, tapi ia suatu jangka waktu yang mustahil untuk dicapai ketika musim haji ini. Ramai orang dan banyak kenderaan.  
suasana jemaah sedang menuggu bas di lobi hotel

Disebabkan kebosanan menunggu didalam bilik, saya Sempat meninjau keberangkatan jemaah dari maktab lain di lobi hotel. Berkenalan dengan makcik-makcik dari negeri-negeri yang berbeza pun best gak untuk isi masa lapang ni...bersembang dari loghat utara sampai ke selatan tak lupa juga pantai timur. Globalisasi komunikasi sangat penting, supaya anda tidak kekok bila berborak dengan orang yang luar dari negeri sendiri. 
Kami sempat berborak dengan makcik dari negeri Johor
Bila bercakap banyak mulalah tekak nak kering, ternampak hidangan yang disediakan  pihak hotel untuk jemaah. Ada Juadah kurma dan minuman herba(cengkih+halia). Katanya bagus untuk melegakan sakit tekak. Teruja ingin mencuba, nampak sedap dan aromanya pun menggoda. (o_O). Pak arab yang menghidangkan minuman tergelak-gelak melihat reaksi muka saya terkelat-kelat nak menghabiskan suku cawan minuman herba tersebut. Err...tutup hidung minum sekali nafas! Orang kata yang pahit itu penawar bukan?


Akhirnya jemaah dari maktab 98 dipanggil turun ke lobi, 7:30 mlm kami bertolak dari hotel . Bas kami adalah bas kedua yang terakhir akan tiba di Arafah. Jom !!

ini no bas kami ye...
Beratur menunggu giliran menaiki bas

Bergambar dengan Roomate  =)
(dari kiri: Saya, Makcik Mis, Makcik Na, Kak Ros, Kak Asnah)

Owh, sebelum terlupa...nak perkenalkan sahabat-sahabat baru saya. Di hotel inilah bermulanya perkenalan saya dengan 4 orang roomate baru, semua dari negeri selangor. Kak Ros dan kak asnah,  mereka berkawan baik dan bekerja di tempat yang sama di subang jaya. kedua-dua sporting dan peramah. Boleh jadi kawan borak lah.  Makcik Na ni kakak kepada kak Ros, dia ni seorang yang sentiasa tersenyum dan ceria, diusik macam mana pun senyuman dimuka tetap ada. Specialnya makcik Na, dia sangat penyayang kepada kucing. Boleh dapat gelaran ummu Hurairah, setiap kali makan, dia akan mengumpul saki-baki makanan yang berlebihan untuk diberi kepada kucing-kucing dijalanan semasa dalam perjalanannya ke masjid. Bukan sekali dua, memang setiap ternampak makanan berlebih mesti teringatkan kucing-kucingnya. Makcik Mis pula dari ulu yam baru, mempunyai peribadi keibuan, lemah-lembut dan sanggup melayan kerenah kami yang lebih muda darinya, kami dianggap seperti anak-anaknya. Masakan di arab selalunya tidak pedas, saya dan kak ros pula kaki makan pedas, bila makan makanan yang tidak pedas kuranglah berselera sedikit, dengan baik hati makcik mis tolong masakkan kami cili dan bawang tumis. Air tangannya memang sedap, berselera kami makan =D . Tangkap gambar kenangan dulu sebelum berpisah, sebab nanti di Arah dan Mina kami dikatakan akan ditempatkan di khemah berbeza. Mungkin saya dapat kawan baru lagi ye?

Bermulalah perjalanan kami...

Bas kami yang unik dan klasik...ada kipas pusing...
tapi tak berfungsi, buka tingkap je lah..
Nampak je macam ni...tapi bas ni tak buat hal pun =)
kami sampai cepat dari bas yang cantik-cantik dan berhawa dingin
Kesesakan lalu lintas yang perlu diharungi
(bukan sahaja bas dan lori ini penuh dengan muatan manusia,
 tetapi haiwan-haiwan qurban pun dibawa  untuk ke mina dan arafah,,heheh,,,)

1 jam 30 minit kemudian kami tiba diarafah. Alhamdulillah, driver ni pandai mencari jalan pintas untuk mengelak kesesakan jalan ke arafah. Ada jemaah lain yang sangkut didalam kesesakan selama 4-5 jam. Alhamdulillah, kami sampai awal.

Sebaik sahaja kami tiba saya terdengar bunyi siren ambulans, takziah kepada seorang jemaah haji, katanya mengalami sesak nafas semasa didalam perjalanan tadi, mungkin kepanasan dalam kesesakan lalu lintas tadi, ditambah pula dengan udara berdebu menguji kesihatan pakcik tu. Sekali lagi, fizikal, mental dan kesihatan harus kuat untuk ibadah ini!

***

Dipintu masuk setiap dari jemaah diberi hadiah oleh pihak muassasah 1 set paket teh, kopi, gula dan krimer untuk kegunaan selama berada disini. 

Cahaya rembulan di Arafah, selamat malam semua !
Mimpi bulan mengambanglah  malam ni =)
Terasa seperti zaman sekolah, semasa aktif mengikuti aktiviti pengakap bercamping di hutan tetapi kali ini suasana berbeza, bercamping di padang pasir. khemah-khemah putih tersusun rapi di sekitar kawasan arafah, setiap khemah telah ditanda dengan nombor maktab dan no khemah masing-masing. Disini, daya ingatan tempat diuji, sebab semua khemah kelihatan sama, kalau jemaah yang warga emas tersesat, susah juga nak mencari. Malam ni tidur beralaskan pasir halus sambil menikmati udara nyaman dan pemandangan bulan dan bintang dibumi arafah.


To be continued...